Search This Blog

Friday, August 15, 2014

Bapa reda, serah polis buat siasatan

Bapa reda, serah polis buat siasatan

Mohd Naqudden mendukung jenazah Nurain Damia (gambar kecil) sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam. - Foto AZHAR RAMLI

Sungai Buloh: Selepas hampir enam hari bertarung nyawa, bayi perempuan berusia 14 bulan, Nurain Damia Mohd Naqudden yang mengalami pendarahan dalam otak dipercayai didera pengasuhnya, meninggal dunia pagi semalam. 



Sepanjang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB) sejak Khamis lalu, bayi malang yang koma itu terpaksa hidup dengan bergantung kepada mesin hayat selepas doktor yang merawatnya mengambil keputusan melakukan pembedahan berisiko tinggi untuk mengeluarkan darah beku pada otaknya yang bengkak selain membuang sebahagian tengkorak kepalanya.

Otak tak berfungsi


Bagaimanapun, Nurain Damia yang sentiasa ditemani oleh kedua-dua ibu bapanya, Mohd Naqudden Zakaria, 25, dan Nor Ani Shafarina Sani, 22, nyata tidak dapat bertahan selepas doktor mengesahkan otaknya sudah tidak mampu berfungsi dan terpaksa bergantung kepada mesin hayat untuk hidup.

Mohd Naqudden yang ditemui di HSB semalam berkata, beliau reda dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, beliau kesal kerana tidak menyangka akan kehilangan anak kesayangannya selepas dua bulan menyerahkannya untuk jagaan pengasuh itu.

“Saya dan isteri mengetahui wanita itu menyediakan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak daripada laman Facebook Komuniti Flora Damansara selepas terdesak mendapatkan khidmat pengasuh baharu selepas tidak berpuas hati dengan khidmat pengasuh lama.
“Sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan khidmatnya, saya dan isteri ada berjumpa dengan dia terlebih dahulu untuk mengetahui latar belakang serta keadaan rumahnya.

“Dia seperti seorang yang sayangkan kanak-kanak dan rumahnya juga tidak banyak perabot menyebabkan kami yakin dia boleh menjaga anak kami dengan baik, kerana selain Nurain Damia dia ada menjaga seorang saja kanakkanak lain, namun tidak menyangka perkara ini akan berlaku,” katanya.

Mohd Naqudden yang berkerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah restoran di Sungai Penchala dekat sini, berkata jika diikutkan hati memang tiada apa yang dapat mengubat kesedihan mereka suami isteri kerana kehilangan satu-satunya anak, selain berharap pelakunya dikenakan hukuman setimpal sekiranya terbukti wanita itu mendera Nurain Damia sehingga mati. 

No comments:

Post a Comment