• Dua daripada tiga anggota Pertahanan Awam Marang membantu menebang pokok yang menimpa kenderaan dan atap rumah Zakaria di Rhu Renggeh, kelmarin.Dua daripada tiga anggota Pertahanan Awam Marang membantu menebang pokok yang menimpa kenderaan dan atap rumah Zakaria di Rhu Renggeh, kelmarin.

MARANG – Sebuah keluarga di Kampung Rhu Renggeh, di sini, dikejutkan dengan kejadian angin kencang hingga memusnahkan kenderaan mewah dan atap kediaman mereka, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu mengakibatkan sebatang pokok mangga berusia lebih 50 tahun menimpa kereta Grand Starex Royale milik mangsa menyebabkan beberapa bahagian kenderaan tersebut dan 20 atap rumahnya mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.

Bapa lapan anak, Zakaria Deraman, 56, berkata, ketika kejadian, dia bersama keluarga berada di dalam rumah dan tidak menyangka kebimbangannya menjadi kenyataan apabila pokok mangga itu menghempap kereta serta kediamannya.

“Selepas kejadian, anggota Pertahanan Awam Marang membantu menebang pokok, manakala penduduk berdekatan membersihkan kawasan. Hari ini (semalam) saya sudah menggantikan kerosakan atap rumah,” katanya.

Menurut Zakaria lagi, kejadian itu juga mengakibatkan dia mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM40,000.