POKOK SENA - Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pokok Sena dicemari insiden baling kerusi ketika perwakilan memulakan persidangan.

Kekecohan tercetus selepas perasminya, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal meninggalkan majlis perasmian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Kampung.

Ketika perwakilan ingin meneruskan persidangan, mereka dikejutkan dengan sekumpulan perwakilan bahagian itu membuat bising dan bertekak, tanpa diduga membaling kerusi berdekatan.

Insiden itu kemudian dileraikan perwakilan dan anggota Rela yang hadir dan keadaan menjadi kecoh seketika sebelum kumpulan berkenaan keluar dewan.

Bagaimanapun, persidangan diteruskan selepas keadaan kembali terkawal.

Setiausaha Kerja Umno Kedah, Haris Che Mat berkata, Umno Bahagian Pokok Sena akan membuat laporan terperinci berhubung insiden kekecohan itu yang berlaku sewaktu mesyuarat perwakilan untuk diserahkan kepada Umno Pusat dan negeri.

“Berdasarkan siasatan awal kami dapati kekecohan ini sengaja dicetuskan pihak tertentu, yang mahu melihat mesyuarat itu ditangguhkan namun tindakan itu tidak berhasil apabila mesyuarat diteruskan selepas keadaan kembali aman,” katanya.

Menurutnya, kesemua perwakilan yang hadir sepakat mahu mesyuarat diteruskan walaupun pihak terbabit mencetuskan provokasi serta mengajak perwakilan lain meninggalkan mesyuarat.

“Laporan mengenai kejadian ini akan diserahkan dalam tempoh terdekat dan kita akan tunggu tindakan selanjutnya,” katanya.

Haris yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Pokok Sena berkata, beliau amat kecewa dengan kejadian itu dan menyifatkan tindakan provokasi yang dibuat segelintir pihak tidak mencerminkan kemahuan ahli-ahli Umno bahagian itu.

“Kekecohan itu hanya dibuat segelintir pihak dan majoriti perwakilan tidak mempunyai masalah dengan cara pemilihan calon G7 yang dibuat hari ini. Saya ingin nasihatkan perwakilan jangan buat sesuatu yang boleh memudaratkan parti, seeloknya dibincangkan secara berhemah,” katanya.

Insiden itu merupakan kejadian kali pertama yang berlaku ketika Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pokok Sena.

Umno Bahagian Pokok Sena diterajui kepimpinan baharu bagi penggal 2013-2016, apabila Said Ali Said Rastan yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian mengetepikan Datuk Ahmad Lebai Sudin yang juga Adun Bukit Lada, bagi jawatan Ketua Bahagian.

Manakala Datuk Ariffin Man merupakan Timbalan Ketua Bahagian.
Pada Februari lalu, Sinar Harian pernah melaporkan kemelut yang melanda Umno bahagian itu, yang berpecah kepada dua puak, iaitu mereka yang menyokong kepimpinan lama dan sebahagian pula menyokong kepimpinan baharu yang menang pada pemilihan lepas.