Search This Blog

Tuesday, August 5, 2014

Asap bongkar dadah RM3.5 juta


Kuala Lumpur: Kegiatan dua sahabat termasuk seorang wanita menjadikan satu unit kondominium mewah disewa mereka sebagai makmal memproses dadah jenis syabu dan pil Eramin 5 terbongkar apabila ditahan polis yang menyerbu premis berkenaan di Taman Sungai Besi di sini, Jumaat lalu.
Dalam serbuan dilakukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada jam 12.15 tengah hari itu berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dan wanita warga asing berusia 27 tahun selepas polis menemui makmal dadah itu di tingkat 21 kondominium berkenaan.
Kedua-dua suspek ditahan ditahan di sebuah kediaman lain di kondominium sama.
Ketua Polis Daerah Cheras Senior Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, hasil serbuan di makmal itu, polis merampas dadah jenis syabu dan pil Eramin 5 bernilai kira-kira RM3.5 juta bersama peralatan dan bahan dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah berkenaan.
“Polis menerima maklumat selepas bomba memaklumkan ada kepulan asap dari kediaman berkenaan dan hasil siasatan mendapati rumah itu sebenarnya disewa untuk kegiatan memproses dadah.
“Ketika serbuan dipercayai aktiviti memproses dadah sedang dijalankan, tetapi tiada suspek ditemui di makmal berkenaan dan hasil siasatan lanjut berjaya memberkas kedua-dua suspek terbabit,” katanya pada sidang media di IPD Cheras, semalam.
Beliau berkata, polis turut merampas dua kereta mewah dipercayai milik suspek jenis BMW dan Honda Odyssesy bernilai RM200,000.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek tinggal di kondominium berkenaan sejak lima bulan lalu dan menyewa kediaman yang dijadikan makmal dadah itu sejak sebulan lalu.
“Polis percaya sindiket terbabit aktif menjalankan kegiatan memproses dadah sejak sebulan lalu dengan menjadikan pusat hiburan di sekitar Lembah Klang sebagai sasaran memasarkan dadah diproses.
“Polis tidak menolak kemungkinan ada saki-baki anggota kumpulan itu yang masih bebas dan akan terus memburu mereka,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman hingga 6 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Foto
MOHAN Singh (tiga dari kanan) menunjukkan antara peralatan memproses dadah yang dirampas di sebuah kondominium mewah.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/05

No comments:

Post a Comment