Search This Blog

Friday, August 15, 2014

Alamat tiga rakyat tempatan dikenal pasti


BUKIT MERTAJAM 14 Ogos - Polis telah mengenal pasti alamat terkini tiga daripada tujuh rakyat tempatan yang dipercayai terlibat dalam pesta sukan bogel di pantai Teluk Kampi, Taman Negara Pulau Pinang (TNPP), Teluk Bahang, di sini baru - baru ini.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Lai Fah Hin meminta mereka tampil untuk membantu siasatan dan tidak berterusan menyembunyikan diri.
"Saya yakin mereka akan ditahan dalam tempoh terdekat. Majoriti yang terlibat dalam pesta berkenaan dikesan berasal dari negeri ini dan Kuala Lumpur selain ada berasal dari Melaka serta Kedah," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Terdahulu, Fah Hin menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) yang turut dihadiri Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi.
Minggu lalu, video berdurasi lima minit 52 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita dewasa dalam keadaan bogel melakukan pelbagai aktiviti di sebuah pondok dan di tepi pantai di Teluk Bahang dikesan dimuat naik di internet.
Dalam video itu, peserta program tersebut melukis di badan antara satu sama lain dalam keadaan berbogel, menari serta mengadakan acara sukan dan diakhiri dengan aktiviti unggun api pada sebelah malam.
Menurut Fah Hin, buat masa ini, pihaknya tidak boleh mendedahkan alamat tiga individu berkenaan kerana masih dalam usaha mengesan alamat empat individu lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140815/je_03/Alamat-tiga-rakyat-tempatan-dikenal-pasti#ixzz3APU9rJfy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment