• Anak-anak pasangan suami isteri yang terkorban dalam kemalangan jalan raya malam Ahad lalu melihat kembali gambar lama ibu-bapa mereka.Anak-anak pasangan suami isteri yang terkorban dalam kemalangan jalan raya malam Ahad lalu melihat kembali gambar lama ibu-bapa mereka.

KAMPUNG GAJAH - “Adik masih lagi trauma dan tidak boleh dengar sesiapa sahaja menceritakan kejadian yang menimpa arwah mak dan ayah kerana dia akan terus bersedih.

Demikian cerita anak sulung kepada arwah Mohd Amin Mat Yusuf, 52,  dan Norkhaijan Tukiran, 43, yang maut dalam kemalangan malam Ahad lalu.

Nur Isma, 24, berkata, adiknya Mohamad Haziq, 6, itu turut terlibat dalam kemalangan namun hanya mengalami cedera ringan.

“Mungkin dia melihat apa yang berlaku tetapi tidak dapat menceritakan kejadian itu kepada orang lain menyebabkan dia sentiasa teringat dan kadangkala bermimpi sehingga menangis pada waktu malam.

“Dia juga masih tertanya-tanya di mana mak, kenapa mak masih belum pulang walaupun mengetahui mak dan ayah sudah meninggal,” katanya ketika ditemui di rumah di Taman Changkat Lada Raya di sini, semalam.

Dalam kejadian kemalangan Ahad lalu itu, pasangan suami isteri bersama anak bongsu mereka itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari Sepang setelah menghantar anak ketiga mereka belajar dan berhari raya di rumah saudara-mara.

Setelah tiba di tempat kejadian iaitu di Kilometer 44, Jalan Teluk Intan-Sitiawan kereta Perodua Kancil yang dinaiki tiga beranak berkenaan telah bertembung dengan sebuah kereta Kancil yang dinaiki  sebuah keluarga dari Teluk Intan.

Akibat kejadian itu, pasangan suami isteri berkenaan dan dua ahli keluarga sebuah lagi kereta terkorban.

Nur Isma berkata, kini mereka berlima iaitu adiknya, Asmawi, 22, Nurul Jannah, 19, Mohamad Wafiy, 17, dan Mohamad Haziq menjadi yatim piatu dalam masa yang singkat.

“Saya hanya pulang berhari raya pada raya ketiga kerana sebelum itu saya beraya di rumah suami namun sempat berjumpa dengan mak dan ayah.

“Mereka berdua tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma ayah kelihatan lebih senyap berbanding sebelum ini yang suka ketawa dan membuat lawak.

“Sebelum kejadian itu juga mak dan ayah tidak ada berpesan apa-apa dan kami juga tidak menyangka mereka akan pergi dengan cara begitu, namun kami semua reda dengan kejadian ini,” katanya.

Katanya, dia akan mengambil tugas menjaga adik bongsunya itu memandangkan adiknya masih memerlukan perhatian rapi.

“Kami akan berbincang dan saya bercadang untuk membawa Mohamad Haziq tinggal bersama saya di Kuala Lumpur kerana dia masih kecil.

“Adik-adik yang lain sudah mampu berdikari sendiri. Tambahan pula di kampung ada  saudara-mara dan nenek tinggal berdekatan, mereka boleh tolong menjenguk adik,” katanya.