KATHMANDU - NEPAL. Sekurang-kurangnya 85 maut dalam kejadian hujan monsun di Nepal, semalam.

Jurucakap Kementerian Perumahan, Laxmi Prasad Dhakal berkata, tentera terpaksa memindahkan ribuan penduduk di Bardiya akibat terjejas teruk.

"Pasukan penyelamat melancarkan operasi mencari mangsa selepas hujan monsun itu menghanyutkan ratusan rumah dan berlaku tanah runtuh," katanya dalam laporan AFP.

Menurutnya, hujan lebat itu juga memusnahkan jalan raya di sekitar kawasan barat negara itu yang bersempadan dengan India.

"Helikopter terpaksa digunakan untuk menyelamatkan penduduk terkandas dan menghantar bekalan kecemasan. Sehingga kini, 18,200 orang di Bardiya sudah dipindahkan ke pusat pemindahan," katanya.
Beliau berkata, operasi kini juga tertumpu kepada pengawalan wabak taun kerana tiada bekalan air bersih.