Search This Blog

Monday, August 11, 2014

5 warga Thailand tak sempat edar air ketum


2014/08/11 - 04:54:50
5 warga Thailand tak sempat  edar air ketum
5 warga Thailand tak sempat edar air ketum

Alor Gajah: Hasrat lima warga Thailand termasuk dua beranak mengedar air ketum kepada pelanggan musnah diserbu sepasukan pihak polis di sebuah rumah di sekitar Kuala Sungai Baru, dekat sini, tengah hari kelmarin.

Tangkapan kira-kira jam 12.45 tengah hari itu dibuat sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah diketuai Sub Inspektor Jalaludin Mohamad Said.


Dua lelaki dan tiga perempuan berusia antara 16 tahun dan 34 tahun turut ditahan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid, berkata kelima-lima suspek yang bekerja di sebuah kedai makan di Kuala Sungai Baru, berada di dalam rumah berkenaan ketika diserbu, dipercayai menunggu pelanggan.

Suspek tergamam

“Mereka tergamam sebaik menyedari kehadiran polis dan hanya berdiam sebelum rumah berkenaan diperiksa.

“Polis menemui sebuah kotak polisterin di bawah sinki dapur rumah itu yang mengandungi 30 bungkusan plastik lut sinar berisi cecair mengandungi air ketum seberat satu liter setiap bungkus.
“Bahan yang disimpan bersama ais itu dipercayai untuk diedar kepada pelanggan sekitar Masjid Tanah dan Kuala Sungai Baru,” katanya di sini, semalam.

Abd Rahman berkata, setiap bungkusan air ketum dijual pada harga RM10 manakala rampasan membabitkan nilai RM300.

Katanya, semua suspek dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut manakala ujian air kencing mendapati mereka negatif pengambilan dadah.

Beliau berkata, bekalan daun ketum terbabit dipercayai dibawa masuk dari luar kerana jenis yang digunakan tidak ada di daerah ini.

“Tangkapan pertama BSJN Alor Gajah membabitkan pengedaran air ketum di daerah ini melumpuhkan beberapa kegiatan jenayah narkotik dan pengedaran air ketum di sekitar daerah ini.

“Semua suspek direman tiga hari sehingga esok (hari ini) dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum Seksyen 30(5) Akta Racun 1952 yang membolehkan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara empat tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment