Search This Blog

Tuesday, August 5, 2014

5 ditahan terbabit samun bukan kes culik budak


2014/08/05 - 06:00:42 AM
Ipoh: Polis menumpaskan kegiatan samun berkumpulan dengan penahanan lima lelaki selepas cuba menyamun sebuah kereta di Taman Loke Yew, Tanjung Malim.

Dalam kejadian pada jam 11 malam pada 27 Julai lalu, polis menahan seorang suspek ketika menyamun Honda Accord, manakala empat lagi ditahan pada Jumaat lalu.


Semua suspek berusia 26 hingga 35 tahun, ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata sebelum ini kumpulan itu turut didakwa terbabit dalam kegiatan menculik kanak-kanak, kononnya bagi tujuan penjualan organ manusia.


Tak culik kanak-kanak

“Bagaimanapun, siasatan mendapati dakwaan menculik kanak-kanak untuk tujuan penjualan organ tidak berlaku, sebaliknya suspek hanya menjalankan kegiatan samun berkumpulan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Acryl berkata, ketika kes cubaan samun Honda Accord itu, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun tidur dalam kenderaan berkenaan, manakala bapanya sedang berbual bersama rakan di luar kenderaan itu.


Orang awam tahan suspek

Katanya, kejadian itu disedari rakan bapa kanak-kanak berkenaan selepas melihat kelibat seorang lelaki menyusup masuk melalui pintu belakang kereta dan terus menjerit ‘culik budak’.

“Suspek kemudian melarikan diri tetapi berjaya ditahan oleh orang awam. Dua rakan lelaki yang menaiki Toyota Avanza melarikan diri,” katanya.

Acryl Sani berkata, susulan penahanan lelaki itu, polis menahan empat lagi lelaki di Pulau Pinang dan negeri ini pada Jumaat lalu.

“Siasatan awal mereka mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk seorang amat dikehendaki polis Pulau Pinang bersabit kes samun kenderaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment