• Pehimi (kanan) menunjukkan tikus yang berjaya ditangkap semalam.Pehimi (kanan) menunjukkan tikus yang berjaya ditangkap semalam.

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan memperhebatkan gerakan membasmi tikus secara lebih bersepadu dalam memastikan sasaran mewujudkan persekitaran sifar tikus di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dapat direalisasikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, tindakan proaktif dengan kadar segera sudah diambil termasuk memasang perangkap di lokasi-lokasi tikus berlindung atau membiak.

Menurutnya, antara kawasan dikenal pasti sebagai tempat tumpuan untuk memasang perangkap menggunakan kaedah gam itu adalah lokasi penyimpanan kain dan pakaian, stor yang kurang dikunjungi serta tempat menyediakan makanan.

“Selain itu, pihak hospital juga mengambil pendekatan tegas dan serius berhubung larangan membawa makanan dalam kalangan pelawat. Apa yang lebih mustahak adalah menghapuskan sumber makanan tikus di sekitar kawasan hospital.

“Insya-ALLAH, saya yakin dengan usaha berterusan pihak pengurusan hospital, ia tidak akan menjadi fobia kepada masyarakat, malah setakat ini kesan masalah tikus tidaklah sehingga mengganggu pesakit yang dirawat di hospital ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan Aidilfitri bersama warga kerja HSNZ di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Anwa Sulaiman dan Pengarah HSNZ, Dr Abdul Rahim Abdullah.

Sinar Harian kelmarin melaporkan, kehadiran tikus yang berkeliaran di dalam wad HSNZ, di sini, turut menjadi viral dalam laman sosial Facebook sejak beberapa hari lalu.

Gambar dan video berkenaan dikatakan telah tersebar di laman sosial memberi imej negatif terhadap hospital utama di negeri ini kerana ia tidak sepatutnya berlaku.

Mengulas lanjut, Muhammad Pehimi berkata, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengatasi masalah itu dan jawatankuasa tersebut telah bertindak pantas sejak empat hari lalu dalam usaha untuk menyelesaikan perkara itu.

“Untuk rekod, dari Januari hingga Jun, kita berjaya menangkap sebanyak 460 ekor tikus, manakala sejak empat hari lalu sebanyak 43 ekor lagi ditangkap.  Kerja ini akan berterusan dan kita berterima kasih di atas makluman orang ramai berhubung isu tersebut menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini,” katanya.

Muhammad Pehimi berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk menguatkuasakan tindakan kepada peniaga yang tidak berlesen di sekitar hospital dan berhubung isu sampah-sarap agar segera diangkat.

Sementara itu, Dr Anwa meminta orang ramai peka terhadap pelupusan sisa makanan di hospital dengan membuang sampah-sarap ke dalam bakul sampah khas bertutup yang disediakan agar tidak menarik tikus datang ke kawasan tersebut.