Search This Blog

Monday, August 11, 2014

39 maut, pesawat Iran terhempas


Pengawal Revolusi Iran dan polis memeriksa kawasan nahas di Teheran, semalam. - AGENSI
TEHERAN 10 Ogos - Sebuah pesawat Air Iran-140 yang dalam penerbangan ke Tabas di timur laut Iran terhempas di sebuah kawasan perumahan sejurus berlepas dari ibu negara ini, pagi ini mengorbankan 39 orang, manakala sembilan lagi penumpang cedera.
Timbalan Menteri Pengangkutan Iran, Ahmad Majidi berkata, pesawat jenis Antonov itu yang membawa 40 penumpang termasuk enam kanak-kanak serta lapan anak kapal terhempas di kawasan perumahan Azadi selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Mehrabad pada kira-kira pukul 9.18 pagi waktu tempatan.
Saluran televisyen tempatan melaporkan sekurang-kurangnya tiga penduduk di kawasan itu dimasukkan ke hospital akibat cedera ekoran berlaku kebakaran.
Jurucakap Jabatan Bomba Teheran pada mulanya melaporkan kesemua penumpang pesawat terbunuh, namun agensi berita IRNA melaporkan dua daripada sembilan penumpang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
IRNA melaporkan enjin pesawat yang terhenti merupakan punca nahas pesawat berkenaan.
Pesawat itu dikendalikan oleh Sepahan Airlines dengan ekor pesawat yang menunjukkan logo ikan lumba-lumba yang mewakili syarikat itu masih dapat dilihat terhempas di jalan raya ketika pihak berkuasa menutup lokasi nahas.
Iran sudah beberapa kali menghadapi kejadian pesawat terhempas, atas alasan usia pesawat yang lama dan kelemahan penyenggaraan.
Lapangan Terbang Mehrabad terletak di barat Teheran dan menjadi pusat penerbangan tempatan, selain menjadi antara lapangan terbang paling sibuk di negara itu. - REUTERS/AP/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140811/lu_02/39-maut-pesawat-Iran-terhempas#ixzz3A1rnoIlK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment