• Mustafa (kiri) bersalaman dengan pegawai kanan Rela yang hadir di rumah keluarganya di Kampung Dengir, Jertih.Mustafa (kiri) bersalaman dengan pegawai kanan Rela yang hadir di rumah keluarganya di Kampung Dengir, Jertih.
 1 / 1 
BESUT -  Seramai 300,000 anggota Rela di seluruh negara telah dilucutkan keanggotaan hasil tapisan yang dilakukan.

Ketua pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, keanggotaan mereka dilucutkan kerana beberapa faktor antaranya mempunyai rekod jenayah, melakukan kesalahan tata tertib, tidak dapat dikesan dan meninggal dunia.

Menurutnya, tapisan tersebut daripada tiga juta anggota Rela seluruh negara pada tahun lalu menjadikan baki anggota seramai 2.7 juta kini.

“Tetapi sekarang bilangan anggota Rela telah meningkat kembali menjadi 2.92 juta orang di seluruh negara dengan pendaftaran anggota baru.

“Bagaimanapun Rela tidak berkompromi dengan kualiti anggota. Pengambilan anggota baru perlu melalui tapisan bagi memastikan anggota terbabit bebas salah laku jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sambutan Aidilfitri di kediaman ibunya di di Kampung Dengir dekat Jertih di sini.

Selain itu, kata Mustafa, penugasan kawalan keselamatan setempat di sekolah  seluruh negara yang dihentikan sebelum ini telah  dilaksanakan semula kerana permintaan pihak sekolah.

“Setakat ini seramai 625 anggota Rela terlibat berkawal di sekolah terpilih di seluruh negara bagi memastikan keselamatan pelajar ketika melintas jalan dan sebagainya,” katanya.
Kata beliau,  jabatan turut mengkaji untuk memperluaskan semula program kehadiran Rela di tempat awam berisiko yang turut dihentikan pada November tahun lalu.

Menurutnya, kawasan yang dikenal pasti amat memerlukan bantuan anggota Rela adalah di Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Sekarang seramai 3,326 anggota Rela seluruh negara bertugas di beberapa agensi di Kementerian Dalam Negeri (KDN), luar KDN termasuk kawalan di lokasi sasaran penting,” katanya.