Search This Blog

Wednesday, August 27, 2014

2 mati hentam treler


Jasin: “Ketika memandu, saya terdengar satu letupan dan mulanya menyangka tayar meletup sebelum terhidu bau asap,” begitu kata Narayanan, 50-an, selepas treler dipandunya dirempuh lori membawa muatan tong gas oxy dalam kemalangan di Kilometer 177.8, Lebuhraya Utara Selatan, di sini, pagi semalam.
Menurut Narayanan, dia terus memasuki lorong kecemasan untuk melakukan pemeriksaan sebelum mendapati sebuah lori melekat di belakang treler dipandunya.

Kemalangan kira-kira jam jam 6.15 pagi itu mengorbankan pemandu lori muatan gas oxy, Mohd Kamarulazrin Zakaria, 30, dan kelindannya, Mohd Noorazli Abd Talib, 37.
Difahamkan, lori muatan gas oxy itu dipercayai hilang kawalan selepas memotong beberapa lori sebelum mengubah haluan ke lorong kiri dan merempuh belakang treler muatan besi buruk dipandu Narayanan.

Narayanan berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Johor untuk menghantar besi buruk ke Kuala Lumpur bersama kelindannya.

“Dentuman kuat itu mengejutkan saya yang sedang memandu di lorong kiri menyebabkan lori berasa ringan dan bergerak sendiri sejauh kira-kira 100 meter lalu saya masuk ke lorong kecemasan untuk berhenti bagi melakukan pemeriksaan.
Foto
ANGGOTA bomba bertungkus-lumus mengeluarkan pemandu dan kelindan lori muatan gas Oxy yang mati tersepit.
“Saya turut mengalami sesak nafas selepas terhidu asap radiator lori yang pecah itu ketika turut melakukan pemeriksaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Menurutnya, beberapa pengguna jalan raya yang menyedari kemalangan turut berhenti menghulurkan bantuan dan menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.
Narayanan turut dibawa ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami sesak nafas dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketika kejadian, Mohd Kamarulazrin dan Mohd Noorazli dipercayai dalam perjalanan dari Ulu Tiram, Johor untuk menghantar bekalan tong gas untuk kerja kimpalan di Balakong, Selangor sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Pasukan paramedik dari Hospital Jasin yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mangsa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari Pegawai Bomba Kanan I Zamri Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 6.46 pagi dan sepasukan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu dan kelindan lori itu tidak dapat dilihat kerana kedudukan kepala lori terperosok di bahagian belakang treler sebelum kerja merenggang kedua-dua kenderaan itu dilakukan.

“Selepas dua kenderaan berat itu dipisahkan, pemandu dan kelindan lori didapati terkulai di tempat duduk. Mereka berjaya dikeluarkan jam 9.28 pagi menggunakan peralatan khas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

No comments:

Post a Comment