• Muhyiddin (tengah) bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri) selepas majlis taklimat penghormatan penerimaan jenazah MH17, semalam.Muhyiddin (tengah) bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri) selepas majlis taklimat penghormatan penerimaan jenazah MH17, semalam.

PUTRAJAYA - 16 jenazah MH17 akan dibawa pulang ke Malaysia, 22 Ogos ini untuk dikebumikan di kampung halaman masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua jenazah dijadualkan dibawa menggunakan penerbangan khas dan tiba di tanah air pada jam 10 pagi pada tarikh tersebut.

Katanya, setakat ini, 24 jenazah warga negara Malaysia telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa di Amsterdam dan melibatkan 14 penumpang dan 10 anak kapal.
“Untuk 22 Ogos ini, seramai 16 jenazah telah siap sedia untuk dibawa pulang, manakala lapan lagi jenazah yang belum melalui proses lengkap akan dihantar pulang secara berperingkat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan majlis taklimat penghormatan penerimaan jenazah tragedi pesawat MH17 di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan sedang menunggu isyarat seterusnya daripada pihak berkuasa Belanda bagi membawa pulang baki lapan jenazah yang lain.
“Kita akan lakukan secepat mungkin bagi mengelakkan waris menunggu lama. Identiti kesemua mangsa hanya akan dikeluarkan pada 22 Ogos ini,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan turut menyediakan kemudahan pengangkutan bagi menghantar jenazah ke kampung halaman yang agak jauh.

Menurutnya, maklumat setakat ini, tiga jenazah di kawasan pendalaman Semenanjung akan diterbangkan menggunakan Helikopter Nuri dan satu jenazah di Kuching, Sarawak menggunakan Helikopter Charlie.

Sementara itu,  22 Ogos diumumkan sebagai hari berkabung negara bagi menghormati ketibaan jenazah.