KANGAR - Kira-kira 15 peratus pelajar sekolah menengah di daerah Kangar terlibat dengan gejala minum air daun ketum yang dicampurkan dengan ubat batuk.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Noordin berkata, penglibatan pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 tahun dengan ketagihan air ketum sangat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan kesihatan dan disiplin pelajar itu sendiri.

Katanya, perkara ini harus dipandang serius oleh ibu bapa supaya ia tidak terus merebak dalam kalangan pelajar sekolah.

“Pada Ogos tahun lalu, seorang pelajar ditangkap oleh guru kerana minum air daun ketum dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.

“Ibu bapa tidak boleh biarkan anak mereka terjerumus dengan aktiviti minum air ketum kerana akibatnya perlu ditanggung untuk jangka masa panjang malah ia boleh merosakkan institusi keluarga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemusnahan/Pelupusan Barang Kes Narkotik di pekarangan berek polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, polis juga meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberi kerjasama untuk menyalurkan maklumat tentang penjualan air ketum di kampung masing-masing.

Menurutnya, dengan cara itu ia dapat mengekang penjualan air ketum kepada orang ramai terutamanya pelajar.

Terdahulu, sebanyak 456,952 gram pelbagai jenis dadah rampasan dimusnahkan semasa majlis pelupusan terbabit dengan nilai dianggarkan RM1,189,941.

“Selain itu, sebanyak 156,536 gram daun ketum serta 416 liter air ketum turut dimusnahkan dengan harga semasa RM33,893.

“Jumlah itu adalah daripada kes narkotik dari 2002 hingga 2012 yang melibatkan sebanyak 423 kertas siasatan dibuka mengikut pelbagai seksyen dan pertuduhan hasil rampasan serta tangkapan,” katanya.

Katanya, barang kes yang dimusnahkan adalah melibatkan sebahagian kes-kes yang selesai melalui proses perundangan di mahkamah.