• Kambing mati dipercayai akibat perbuatan khianat.Kambing mati dipercayai akibat perbuatan khianat.

PENAGA - Seorang penternak kambing di Permatang Janggus mengalami kerugian hampir RM6,000 apabila 13 kambing yang diternaknya mati pagi semalam.

Ibrahim Isyak, 43, berkata kejadian tersebut disedarinya ketika mahu memberi ternakannya makan.

“Setiap hari, saya akan beri kambing saya makan kira-kira jam 6 petang, tetapi semalam ketika meletakkan makanan, tidak semua yang turun dari kandang dan saya syak sesuatu yang buruk berlaku," katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang mengusahakan ternakan kambing sejak 2006 mempunyai lebih 42 kambing hasil pakej usahawan diperolehnya.

Katanya, sebelum ini kambing tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda sakit.

“Cuma semalam, saya mendapati beberapa ekor mengalami cirit-birit serta muntah selain ada darah pada najis," katanya.

Sehubungan itu, Ibrahim tidak menolak kemungkinan kambingnya mati akibat perbuatan khianat.

“Saya jarang lepaskan ternakan saya di luar kawasan kandang, jadi tak mungkin termakan rumput yang diracun," katanya.

Dia juga telah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan veterinar Pokok Sena dan mereka memberikan dua botol ubat untuk diberikan kepada ternakannya.