• Keadaan rumah Habsah yang dirempuh dalam kejadian 3.30 petang kelmarin. Gambar kecil : HabsahKeadaan rumah Habsah yang dirempuh dalam kejadian 3.30 petang kelmarin. Gambar kecil : Habsah

BACHOK – Seorang warga emas yang asyik berehat bersama cucu-cucunya di ruang tamu terselamat apabila sebuah Toyota Vios merempuh rumahnya dalam kejadian pada jam 3.30 petang kelmarin.

Habsah Jaya, 71, berkata, ketika itu dia sedang berehat sambil menonton televisyen bersama cucu-cucunya di ruang tamu sementara beberapa cucunya yang lain berada di dapur dan di dalam bilik.

“Masa tu makcik terdengar bunyi dentuman yg amat kuat tetapi tidak tahu apa yang berlaku. Makcik hanya cepat-cepat ambil cucu dan keluar rumah untuk tengok apa yang berlaku.

“Bila keluar rumah tengok orang ramai dah penuh depan rumah. Kereta terperosok di penjuru sisi rumah tetapi pemandunya seorang wanita bersama anaknya dah keluar dari kereta. Alhamdulillah tidak ada kecederaan yang berlaku pada kami dan pemandu wanita itu dikatakan hanya cedera ringan,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kereta itu hanya dialihkan sekitar jam 6 petang. Habsah mendiami rumah tersebut bersama enam ahli keluarganya yang lain termasuk anak dan cucu-cucunya.

Akibat kejadian itu, bahagian penjuru kiri rumah Habsah yang diduduki sejak 1994 itu rosak. Dia bagaimanapun tidak mengetahui jumlah kerugian yang dialami akibat kejadian itu.

Pihak polis yang dihubungi menjelaskan tiada laporan dibuat berkaitan kes itu memandangkan ia diselesaikan dengan baik dipersetujui pihak terlibat.