Search This Blog

Friday, July 4, 2014

Warga emas temui ajal sebelum sempat solat tarawih


MIRI 4 Julai - Seperti umat Islam lain, seorang warga emas, Hamidi Wasli, 64, tidak mahu ketinggalan mendapatkan keberkatan Ramadan dengan menunaikan solat tarawih di Masjid al-Taqwa yang terletak berhampiran rumahnya di Kampung Wireless di sini.
Namun ibadat itu hanya sempat dilakukan selama tiga hari apabila dia menemui ajal dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke masjid untuk bertarawih pada pukul 7.20 malam tadi.
Mangsa maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux di Jalan Permaisuri di sini, ketika sedang berjalan kaki ke Masjid al-Taqwa di Jalan Kipas yang mengambil masa lima minit perjalanan dari Kampung Wireless.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, mangsa berasal dari Balingian, Mukah, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Katanya, lelaki malang itu dilanggar oleh 4WD yang dipercayai dipandu laju dari arah pusat bandar menuju ke Krokop di sini.
“Rempuhan kuat menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter di tengah jalan sebelum sebuah kereta Proton Wira dari arah belakang yang dikatakan tidak sempat berhenti menggilis bahagian kepalanya.
“Pemandu Toyota Hilux yang memecut laju meninggalkan lokasi kejadian selepas merempuh mangsa berjaya dikepung oleh orang awam yang melihat insiden itu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, polis kemudian menahan pemandu Toyota Hilux dan Proton Wira untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140704/je_02/Warga-emas-temui-ajal-sebelum-sempat-solat-tarawih#ixzz36Ri71fcV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment