MALIM - Seramai 51 wanita warga asing yang dijadikan Pelayan Pelanggan (GRO) berjaya diselamatkan polis dalam serbuan di dua buah pusat hiburan di Malim Jaya, malam kelmarin.

Kesemua wanita berusi 16 hingga 34 tahun dari Vietnam, China dan Thailand itu diselamatkan sepasukan polis dari Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dari Bukit Aman.

Operasi diketuai Deputi Superintendan Polis ATIPSOM (D7c), Deputi Superintendan Kamal Khan Mohd Shariff bermula 11.30 malam itu disertai 13 pegawai dan 25 anggota yang dibantu seorang pegawai dan 12 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Kamal Khan berkata, pihaknya melakukan serbuan terhadap dua premis bertentangan dan pemeriksaan dilakukan kira-kira 120 orang termasuk pelanggan dalam operasi selama tiga jam.

“Seramai 5 wanita dari Thailand berusia 18 hingga 34 tahun berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang di sebuah pusat hiburan sementara seorang juruwang wanita dari Indonesia ditahan bagi membantu siasatan.

“Sebuah lagi pusat hiburan kami serbu dan berjaya menyelamatkan GRO berusia 16 hingga 35 tahun dari Vietnam seramai 40 orang dan China (6),” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan, semalam.

Kamal Khan berkata, dua wanita yang digelar 'Mummy' berusia 30 hingga 40 tahun yang bertindak menguruskan ‘anak-anak’ juga ditahan di pusat hiburan dua tingkat berkenaan.