KAMUNTING - Sebuah van milik syarikat keselamatan musnah terbakar di hadapan sebuah bank, di sini, pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, kenderaan tersebut diletakkan di kawasan parkir di hadapan syarikat berkenaan.

“Kebakaran tersebut hanya membabitkan bahagian hadapan kenderaan tersebut,” katanya semalam.

Mohd Taufiq berkata, sebaik menerima panggilan orang awam, sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Dengan kepantasan pasukan bomba, api berjaya dipadamkan dan van itu dapat dielak daripada terbakar sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini jumlah kerugian dan punca kejadian masih disiasat.

Menurutnya, pihaknya turut menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk membantu siasatan kejadian tersebut.

“Bagaimanapun, tiada individu atau wang dalam van syarikat keselamatan berkenaan kerana ketika kejadian ia diletakkan dalam kawasan parkir,” katanya.