Search This Blog

Monday, July 21, 2014

UPP rampas mercun, bunga api bernilai RM200,000


RUSLI Karim (tengah) bersama dua anggota Unit Pencegahan Penyeludupan menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas di Ibu Pejabat UPP Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/JAZALY AMRY JAAFAR
KOTA BHARU 20 Julai - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas sebanyak 167 kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM200,000 di Kampung Saujana, Besut dekat sini, kelmarin.
Komander UPP negeri, Rusli Karim berkata, berdasarkan maklumat daripada orang awam, pihaknya membuat risikan di kawasan Kampung Tok Bali pada pukul 7 pagi sehingga berjaya mengekori sebuah lori yang disyaki membawa mercun tersebut.
"Kita mengekori lori ini sehingga masuk ke kawasan Terengganu, pemandu lori tersebut bertindak memecut laju apabila mula menyedari kenderaannya diekori.
"Kita berjaya menahannya di kawasan Kampung Saujana dan pemandu lori ini meninggalkan kenderaannya di sini lalu melarikan diri," katanya kepada pemberita di ibu pejabat UPP Kota Bharu di sini hari ini.
Rusli berkata, kesemua mercun tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dan untuk dipasarkan di Kuala Lumpur.
"Kita lihat pada tahun ini, ada beberapa model baharu mercun dan salah satu antaranya dinamakan sebagai mercun bom. Model ini sangat berbahaya.
"Barangan rampasan tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Rusli berkata, pihaknya merampas 60 kotak mercun serta bunga api yang dianggarkan bernilai RM60,000 di Kampung Meranti, Pasir Mas pada 12 Julai lalu.
"Rampasan tersebut dibuat selepas pihaknya mengekori sebuah lori di kawasan tersebut sebelum ditinggalkan oleh pemandunya yang melarikan diri," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140721/je_03/UPP-rampas-mercun-bunga-api-bernilai-RM200000#ixzz383KwhxIa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment