Search This Blog

Tuesday, July 15, 2014

Ugut tikam ibu enggan cuti buat pasport hilang


Kuala Lumpur: Berang ibunya enggan mengambil cuti untuk menemani membuat pasport yang hilang menyebabkan seorang lelaki tergamak cuba menikam ibunya dengan gunting malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.40 malam itu, mangsa yang berusia 45 tahun diserang anaknya berusia 20-an di kediaman mereka di Jalan Ipoh, di sini.


Sumber polis berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di ruang tamu rumahnya sebelum dihampiri anaknya itu.



Menurutnya, suspek kemudian mengarahkan ibunya mengambil cuti bekerja supaya dapat menemaninya ke pejabat Imigresen untuk membuat pasport.


Menurut sumber, ibunya memberitahu dia tidak boleh mengambil cuti dan meminta anaknya pergi sendiri ke pejabat imigresen untuk urusan itu.


“Suspek yang tidak berpuas hati memarahi ibunya itu dengan menghamburkan kata-kata kesat sebelum merampas beg tangan mangsa berisi wang tunai dan dokumen peribadi.

“Terkejut dengan tindakan anaknya itu, mangsa memarahi suspek dan meminta anaknya itu memulangkan semula barangan diambilnya itu,” katanya.


Sumber berkata, salah seorang lagi anak mangsa menyedari kejadian itu datang membantu dan meminta abangnya bertenang dan mengawal perasaan.

“Sebaliknya suspek mengambil gunting dan mengugut ingin menikam mangsa menyebabkan ibunya ketakutan,” katanya.


“Suspek yang dipujuk supaya tidak mencederakan ibu kandungnya sendiri kemudian bertindak keluar dari rumah berkenaan,” katanya.


Bimbang kejadian sama berulang mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Sentul, di sini.


Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul mengesahkan kejadian itu dan siasatan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

No comments:

Post a Comment