Search This Blog

Monday, July 21, 2014

Tukar taktik elak dicekup


MENJELANG Aidilfitri tidak lama lagi, kes-kes kecederaan akibat bermain mercun terus meningkat. Sejak awal Ramadan hingga kini, kes-kes remaja tercedera mahupun terputus jari akibat mercun masih berlaku.
Kekerapan kes kecederaan akibat mercun yang dilaporkan menimbulkan pelbagai persepsi bahawa barangan larangan itu lebih mudah ditemui di Kelantan berbanding negeri lain.
Ikuti siri kedua laporan khas mengenai mercun oleh wartawan Utusan Malaysia, ZAAIN ZAIN dan YATIMIN ABDULLAH serta jurugambar, ROSNI MASRI.
KOTA BHARU 20 Julai - Penyeludup mercun yang sebelum ini aktif membawa masuk mercun dalam kuantiti besar kini menukar taktik dengan membawa masuk sedikit demi sedikit barang larangan itu ke dalam negeri ini bagi mengelak dikesan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim (gambar) berkata, taktik baharu itu menyebabkan pihak berkuasa sukar mengesan kegiatan para penjenayah terbabit pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Selain mengaburi mata pihak berkuasa katanya, taktik itu juga mengelak para penyeludup mengalami kerugian besar sekiranya ditangkap.
"Dahulu para penyeludup membawa masuk mercun menggunakan lori. Modus operandi mereka bagi tahun ini agak berbeza kerana membawa masuk dalam kuantiti kecil menggunakan kenderaan biasa," katanya.
Mazlan dalam pada itu memberitahu, sejak Januari sehingga 12 Julai lalu, polis merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM376,000 dalam operasi yang dilakukan di seluruh negeri ini.
Sementara itu katanya, nilai rampasan mercun sepanjang tahun lalu adalah RM591,000 manakala pada 2012, nilai rampasan adalah sebanyak RM487,000.
"Jumlah individu yang ditahan kerana menjual mercun setakat ini adalah empat orang berbanding 23 orang pada tahun lalu dan 43 orang pada 2012.
"Tiada sebarang tangkapan dibuat terhadap individu yang bermain mercun pada tahun ini berbanding 11 dan 22 orang pada 2013 dan 2012," katanya.
Menurut beliau lagi, bagi tahun ini, tiga kes kecederaan akibat bermain mercun dilaporkan berbanding tujuh kes pada 2013 dan 19 kes pada 2012.
Katanya, rampasan mercun kebanyakannya dibuat di Bukit Bunga, Jeli; Lalang Pepuyu, Tanah Merah; Rantau Panjang; Jeram Perdah dan Meranti, Pasir Mas; Pengkalan Kubur, Tumpat serta Binjai, Kota Bharu.
"Mercun yang paling banyak dirampas adalah mercun bola, mercun ketupat, mercun das dan 'happy boom'," katanya sambil memberitahu kesemua kes membabitkan mercun disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140721/je_04/Tukar-taktik-elak-dicekup#ixzz383LeKp29
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment