Search This Blog

Saturday, July 12, 2014

Tukar sekolah serta-merta


Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Guru yang didakwa melempar kasut hingga menyebabkan seorang murid perempuan tahun dua cedera di dahi, ditukarkan serta-merta ke sebuah sekolah lain di daerah ini berkuatkuasa semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) Datuk Kalsom Khalid berkata, keputusan dibuat selepas pihaknya memanggil guru terbabit untuk memberi penjelasan berhubung tindakannya itu.


“Arahan dikeluarkan berkuatkuasa mulai hari ini (semalam). Terdahulu, kita panggil guru terbabit untuk membantu siasatan kes apa yang berlaku kepada murid perempuan itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut kes berkenaan.

Pihak jabatan mengendalikan kes ini dengan adil dan berharap isu ini sudah selesai selepas mendapat penjelasan dan surat arahan serta-merta penukaran guru itu juga sudah dipersetujui, katanya ketika dihubungi semalam.


Kalsom berkata, pihak kaunselor JPNS dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan memberi kaunseling kepada guru berkenaan.


“Pemantauan dari masa ke semasa juga akan dilakukan ke atas guru berkenaan supaya kejadian seperti ini tidak berulang.

“Selain itu, surat tunjuk sebab akan dikeluarkan segera untuk tindakan seterusnya sebagai prosedur biasa kes-kes sedemikian.

“Saya berharap agar isu ini tidak dipanjangkan lagi bagi membolehkan ia dapat diselesaikan dengan cara baik,” katanya.

Menurutnya, pihak JPNS dan PPD Port Dickson serta pihak sekolah sudah mengadakan pertemuan dengan ibu bapa murid untuk memohon maaf pada hari kejadian.

Kita kesal dengan kejadian itu dan sudah mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak ibu bapa murid dan guru untuk memohon maaf dan guru berkenaan mengakui kesilapannya, katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan murid tahun dua di sebuah sekolah di sini, mendakwa cedera selepas dibaling lasut oleh guru ketika bermain bersama dua rakan di belakang kelas pada sesi pembelajaran dan pengajaran Pendidikan Moral, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/12

No comments:

Post a Comment