• Polis mengangkat mayat Kam Tak untuk dibawa ke HPP.Polis mengangkat mayat Kam Tak untuk dibawa ke HPP.

GEORGETOWN - Seorang tukang perabot dipercayai maut setelah terjatuh dari tingkat 5, Blok 3, sebuah pangsapuri, di Lebuh Rambai, Paya Terubong, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 10.45 pagi, semalam, Cheong Kam Tak, 50, didapati maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian belakang kepala, selain patah kaki kiri.

Menurut isteri mangsa, dua jam sebelum kejadian Kam Tak mengadu sesak nafas. Suaminya itu kemudian menaiki motosikal ke klinik di kawasan Air Itam.

Lebih kurang 10 pagi, suaminya pulang dan menyangkut kunci motosikal di dalam rumah sebelum keluar semula tanpa memberitahu ke mana hendak pergi.

Tidak lama kemudian, isterinya mendengar bunyi yang kuat, seperti sesuatu jatuh. Beliau bergegas keluar dan mendapati suaminya maut dalam keadaan berlumuran darah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid  mengesahkan kejadian itu, berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang.