Search This Blog

Friday, July 4, 2014

Tipu pembelian lembu korban, banduan dipenjara 50 bulan


KUALA LUMPUR 3 Julai - Seorang banduan terpaksa melupakan hasratnya untuk dibebaskan pada Januari tahun depan selepas Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman 50 bulan penjara dan dua sebatan kerana menipu dan menggunakan cek palsu berhubung pembelian 17 ekor lembu untuk dijadikan ibadah korban.
Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Khairol Yusoff, 32, yang kini menjalani hukuman setahun di Penjara Kajang, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Bagaimanapun, tertuduh yang memakai baju lokap berwarna merah, hanya perlu menjalani hukuman penjara 30 bulan selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkap pada 9 Disember 2013.
Mohd. Khairol dihukum penjara 20 bulan dan dua sebatan kerana menipu seorang penternak lembu, Abdul Razak Md Ali, 58, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh hendak membeli 17 ekor lembu yang bernilai RM42,500.
Perbuatan tertuduh mendorong Abdul Razak menyerahkan lembu-lembu berkenaan kepadanya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ladang Lembu Jalan Bakti, Kanchong Tengah, Banting, antara 23 Sept 2012 hingga 27 Okt 2012, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada dua anak itu dihukum penjara 30 bulan kerana menggunakan sekeping cek palsu CIMB Islamic Bank berjumlah RM25,000 sebagai pembayaran deposit untuk pembelian lembu-lembu berkenaan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140703/ma_04/Tipu-pembelian-lembu-korban-banduan-dipenjara-50-bulan#ixzz36RitX86T
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment