Search This Blog

Thursday, July 31, 2014

Tikam kekasih bekas teman wanita kerana cemburu


MUAR 30 Julai - Gara-gara cemburu bekas kekasih berfoya-foya dengan teman baharu, seorang lelaki berang dan nekad menyerang lelaki berkenaan hingga cedera parah di sebuah pusat hiburan di Jalan Abdul Rahman di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, suspek yang berusia 30-an dipercayai menggunakan pisau untuk menikam kedua-dua belah bahu mangsa selain menyebabkan luka di pergelangan tangan kiri.
Sebelum itu, suspek meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap bekas kekasihnya yang berusia 20-an hingga menarik perhatian orang ramai sebelum berlaku pertengkaran dan pergelutan antara kedua-dua lelaki tersebut.
Difahamkan, ketika bergelut suspek mengeluarkan senjata tajam dipercayai pisau lalu menikam mangsa sebelum bertindak melarikan diri dari pusat hiburan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, mangsa yang terbaring dengan kesan luka di bahu dan tangan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) bagi mendapatkan rawatan.
"Unit kecemasan hospital itu melaporkan kejadian tersebut dan bertindak atas maklumat berkenaan, anggota di Pondok Polis HPSF menjalankan siasatan awal dan mendapati kejadian berlaku di sebuah pusat hiburan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Azman berkata, pihaknya sudah pun mengenal pasti suspek dan kini berusaha memburunya bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Muar atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 06-9526001.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140731/je_05/Tikam-kekasih-bekas-teman-wanita-kerana-cemburu#ixzz38zdKhqdF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment