Search This Blog

Monday, July 21, 2014

Tiga pejabat Exco dipecah masuk


PEJABAT salah seorang Exco yang dipecah masuk di Wisma Negeri, di Seremban, semalam.


SEREMBAN 20 Julai - Empat buah bilik termasuk tiga pejabat anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Exco) di Wisma Negeri dipecah masuk petang semalam.
Tiga pejabat Exco yang terlibat ialah pejabat Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Ke­sejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaludin Alias; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Abd. Razak Ab. Said.
Menurut Jalaludin, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 2 petang, namun disedari kira-kira empat jam kemudian oleh pihak keselamatan.
"Antara barangan milik saya yang dilarikan ialah iPad dan disket. Setakat ini kita masih menyiasat sama ada dokumen rasmi turut hilang daripada simpanan.
"Selain pejabat saya, dua lagi pejabat Exco dan sebuah stor Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang terletak di aras yang sama turut dipecah masuk," katanya ketika ditemui hari ini.
Ini merupakan insiden kali kedua berlaku melibatkan pejabat Exco dipecah masuk selepas pejabat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli pada 25 September lalu.
Pemeriksaan mendapati suspek memasuki bilik tersebut dengan meme­cah tombol pintu dan cermin sebelum menggeledah dan melarikan barangan berharga.
Jelas beliau, satu laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat oleh unit keselamatan pejabat (SUK) pada hari yang sama.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Baharuddin Mustapha menjelaskan, pihaknya menerima laporan polis berhubung insiden itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140721/je_06/Tiga-pejabat-Exco-dipecah-masuk#ixzz383LJhN5O
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment