Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Tiga kenderaan terbakar


2014/07/23

Kuala Lumpur: Tiga kenderaan termasuk sebuah lori bermuatan tanah merah terbakar di Plaza Tol Bandar Sunway, Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) selepas lori terbabit dikatakan terbabas dan melanggar palang serta tembok tol berkenaan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, pemandu lori terbabit yang dalam perjalanan arah ke Shah Alam itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ketika menghampiri plaza tol berkenaan sebelum terbakar.


Akibat pelanggaran itu, dua kenderaan lain, termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Estima yang kebetulan berada di kiri dan kanan lorong tol berhampiran lori terbabit turut terbakar, manakala sebuah lagi kenderaan lain rosak teruk.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, semua pemandu dan penumpang semua kenderaan itu berjaya menyelamatkan diri, namun pemandu lori berkenaan tidak dapat dikesan dipercayai melarikan diri sejurus kejadian.

Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.36 petang dan dua jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala dan Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian.

Petugas tol cedera

Hanya wanita yang juga petugas di tol berkenaan dilaporkan cedera pada bahu dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan, manakala yang lain selamat, katanya.
Katanya, kerja memadam kebakaran berakhir sejam kemudian dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

No comments:

Post a Comment