Nik Hasnah menunjukkan seluar dan baju raya yang baharu dibeli Mohd Hafis Hafizi untuk dipakai pada Aidilfitri nanti.
Nik Hasnah menunjukkan seluar dan baju raya yang baharu dibeli Mohd Hafis Hafizi untuk dipakai pada Aidilfitri nanti.
TANAH MERAH - Hasrat seorang pemuda untuk memakai baju raya baharu Aidilfitri ini tidak kesampaian apabila maut dalam nahas jalan raya di Kampung Batu 8, Batang Merbau, dekat sini, kelmarin.

Mangsa, Mohd Hafis Hafizi Muhamad, 28, mati apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 62.8, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dalam kejadian kira-kira jam 4 petang.

Nahas jalan raya itu turut menyebabkan penumpang kereta yang juga abang ipar mangsa, Aznan Muhamad, 36, cedera parah dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.

Ibu mangsa, Nik Hasnah Ibrahim, 50, berkata, anaknya itu sempat mencuba seluar dan baju yang baharu dibeli sebelum keluar bermain futsal bersama rakan sekampung pada malam kejadian.

“Arwah beli baju dan seluar baharu untuk Aidilfitri tahun ini kerana sudah lama dia tidak ada pakaian baharu untuk hari raya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Kulim, Machang, semalam.

Nik Hasnah berkata, dia turut tidak menyangka beberapa perubahan ditunjukkan anak keduanya daripada 12 beradik itu terutama pada malam kejadian menjadi petanda buruk akan menimpa.

“Paling ketara, arwah sempat bermain gitar dan menyanyikan lagu raya selepas berbuka puasa sehari sebelum kejadian sedangkan dia tak pernah buat begitu walaupun dia pandai main gitar.

“Pada hari sama, arwah juga pasang lampu ‘spotlight’ depan tangga rumah dan beritahu, hari raya tahun ini dia nak pasang lampu hiasan di sekeliling rumah,” katanya.

Tambah Nik Hasnah, perubahan anaknya itu turut disedari rakan-rakannya yang bermain futsal bersama pada malam kejadian apabila arwah yang merupakan seorang peramah berubah menjadi pendiam.

“Arwah memang periang dan suka bergurau hingga dia digelar ‘Tok Raja’ oleh kawan-kawannya tetapi pada malam kejadian, dia berubah menjadi pendiam.

“Arwah juga baharu bertunang dengan seorang gadis dari Kampung Kemuning pada 31 Mei lalu dan bercadang untuk kahwin selepas Hari Raya Aidiladha nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud mengesahkan kejadian dan siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kejadian berlaku apabila kereta Kancil dinaiki mangsa dari arah Jeli ke Tanah Merah bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

“Kereta mangsa dipercayai cuba memotong deretan kenderaan sebelum bertembung dengan Mitsubishi Triton yang dalam perjalanan dari arah Tanah Merah ke Jeli.

“Mangsa mati di tempat kejadian, manakala penumpang yang patah paha kiri, patah tulang rusuk kanan dan cedera di muka dihantar ke Hospital Tanah Merah,” katanya.