Search This Blog

Friday, July 11, 2014

Terperangkap dalam rumah berasap


Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun berdepan detik mencemaskan apabila ruang tamu rumahnya terbakar ketika dia ditinggalkan bersendirian oleh ibu bapanya di kuarters kerajaan Presint 18, di sini petang semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang di tingkat satu Pangsapuri 18R12 Presint 18 itu, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya kejadian itu disedari jiran mangsa yang kemudian menghubungi pasukan bomba dan penyelamat Putrajaya untuk bantuan kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya Muhamad Hafidz Yaacob berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kanak-kanak berkenaan terkurung di dalam rumah berkenaan dan gagal keluar kerana terkunci dari dalam.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa memotong pintu jeriji sebelum kanak-kanak itu akhirnya berjaya dikeluarkan 10 minit kemudian tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Saya difahamkan, kebakaran itu dikesan jiran mangsa yang melihat kepulan asap keluar dari rumah sebelum menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.

“Jiran mangsa gagal memasuki rumah berkenaan untuk mengeluarkan kanak-kanak berkenaan kerana pintu jeriji rumah berkunci,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, pihaknya terpaksa memasang tangga pada beranda rumah bagi menyelamatkan mangsa selain bertindak mengumpil pintu jeriji bagi menyelamatkan kanak-kanak itu,” katanya.

Muhamad Hafidz berkata, sebaik berjaya mengeluarkan mangsa, pihaknya membuka tingkap rumah bagi membuat pengudaraan untuk mengeluarkan asap kebakaran.

“Kami mengambil masa 10 minit untuk memadam kebakaran.



“Kami masih menyiasat punca kejadian termasuk menyiasat dakwaan kanak-kanak itu bermain api di dalam rumah,” katanya.

Katanya, buat masa ini, pihaknya tidak mempunyai bukti mengenai dakwaan itu namun, pihak forensik sedang menyiasat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/11

No comments:

Post a Comment