• Norhayati bersama suami dan tujuh anaknya melihat keadaan rumah sewa yang hangus di Kampung Ulu Kuang, kelmarin.Norhayati bersama suami dan tujuh anaknya melihat keadaan rumah sewa yang hangus di Kampung Ulu Kuang, kelmarin.

CHEMOR – Sebuah keluarga terpaksa menyambut Aidilfitri di Dewan Orang Ramai Kuang Hilir apabila rumah sewa mereka di Kampung Ulu Kuang, di sini yang baharu diduduki lima bulan lalu terbakar, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kesemua barangan termasuk persiapan raya hangus menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Mangsa, Norhayati Mohd Jaafar, 29, berkata, dia terkejut menerima panggilan daripada jiran menyatakan kediamannya terbakar selepas meninggalkan rumah itu beberapa minit untuk melawat ibu yang tinggal berhampiran.

Dia segera menghubungi suami, Omar Mat Saman, 56, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dekat sini bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Saya bergegas pulang kerana memikirkan keselamatan dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun yang enggan mengikut saya kerana bermain basikal di hadapan rumah.

“Setibanya di rumah, saya tergamam melihat api marak memusnahkan keseluruhan kediaman manakala jiran berusaha membantu memadam kebakaran itu,” katanya.

Bagaimanapun, Norhayati berkata, dia bersyukur dua anaknya tidak cedera dalam kejadian berkenaan.

Katanya, dia berterima kasih kerana ketua kampung memberi kebenaran tinggal di dewan itu sebagai penempatan sementara bersama suami serta tujuh anaknya yang masih kecil termasuk bayi berusia 15 bulan.