Search This Blog

Friday, July 4, 2014

Terjun laut rumah terbakar


2014/07/04 - 00:16:49
Kota Kinabalu: Sebaik saja melihat kepulan asap hitam dan api mula marak di rumah jiran, empat sekeluarga terjun ke laut untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran di Kampung Pondo, Pulau Gaya, semalam.

Asli Haris, 29, berkata mereka kemudian meminta pertolongan penduduk kampung sebelum mereka empat beranak dibawa dengan bot ke tengah laut.

Asli antara kira-kira 300 penduduk perkampungan atas air seluas 0.4 hektar di pulau itu yang hilang tempat tinggal dalam kebakaran memusnahkan kira-kira 40 rumah, jam 12.30 tengah hari, semalam.

Katanya, beliau berehat di rumah bersama isteri serta dua anak sebelum tiba-tiba terdengar suasana riuh-rendah serta jeritan penduduk memaklumkan kampung mereka terbakar.

Kami panik kerana terperangkap selepas laluan keluar dari kawasan rumah sudah terbakar. Malah, api marak dengan cepat akibat angin kencang disusuli beberapa letupan dipercayai daripada tong gas menyebabkan kami tiada pilihan selain terjun ke laut.

Selain itu, ada penduduk lari bertempiaran ke arah bukit di belakang kampung, kebakaran itu berlaku dengan pantas menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan barangan berharga serta dokumen penting, " katanya.

Jimmy Samat, 20-an, berkata beliau terdengar sembilan letupan kuat seperti ledakan bom sebelum membawa ibu dan bapanya menyelamatkan diri menggunakan bot.
Ketika kejadian, saya dan ibu bapa berehat di ruang tamu dan dua lagi adik perempuannya belum pulang dari sekolah. Tiba-tiba terdengar letupan kuat di luar rumah.

Saya kemudian melihat api mula marak di rumah jiran lalu membawa ibu dan bapa keluar tanpa sempat membawa dokumen penting atau barangan berharga.

Kami hanya mampu melihat rumah yang diduduki sejak 15 tahun lalu hangus, namun tetap bersyukur kerana kami tiga beranak dapat menyelamatkan diri," katanya.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Afendy K Ramin ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 1.23 tengah hari sebelum menghantar 12 anggota yang menggunakan dua bot Polis Marin.

Api berjaya dikawal pada jam 1.37 tengah hari. Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan, manakala punca sebenar kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

No comments:

Post a Comment