• Tertuduh (kiri) dibawa polis ke mahkamah untuk berdepan hukuman kerana menyebabkan kematian rakan. - Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHIDTertuduh (kiri) dibawa polis ke mahkamah untuk berdepan hukuman kerana menyebabkan kematian rakan. - Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Seorang pekerja lombong bijih besi dihukum penjara 16 tahun oleh mahkamah tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah menyebabkan kematian rakan sekerjanya, dua tahun lalu.

Tertuduh, Zaidi Abdul Hamid, 39, didapati bersalah menyebabkan kematian ke atas Mohd Yusof Zakaria, 43, di hadapan kantin sebuah lombong bijih besi di Lubuk Stol, Pasir Mas, antara jam 9.30 dan 9.40 pagi, 8 September 2012.

Hukuman terhadap tertuduh diputuskan Hakim, Datuk Azman Abdullah pada akhir kes pembelaan dan perbicaraan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (KK).

Azman dalam penghakimannya berkata, setelah meneliti pembelaan tertuduh dan keseluruhan kes pendakwaan, mahkamah memutuskan tertuduh melakukan kesalahan yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.

“Mahkamah menerima keterangan tertuduh membawa pisau dari awal sebelum berjumpa dengan si mati dan tertuduh yang mencari si mati. Berlaku pergaduhan dan pergelutan dengan tertuduh dikepit leher dan menggunakan pisau itu untuk melawan mangsa.

“Unsur-unsur mempertahankan diri dengan mencari bahaya atas kehendak tertuduh adalah bukan kecualian kepada perbuatan tertuduh membunuh si mati. Sesuatu kebangkitan marah yang dicari-cari bukan satu pembelaan mutlak untuk membolehkan satu pelepasan atau pembebasan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum perbuatan si mati mengepit leher tertuduh, dia bersedia melakukan sesuatu ke atas si mati apabila pisau telah dibawanya. Kecederaan si mati di tangan adalah juga kesan mempertahankan diri.

Tertuduh sebelum itu melalui perbicaraan penuh mengikut Seksyen 302 KK kerana didakwa membunuh mangsa sebelum didapati bersalah mengikut Seksyen 304(a) KK.

Pada prosiding itu, peguam bela, Cheang Chu Yong merayu tertuduh dikenakan hukuman ringan dengan alasan tertuduh masih muda dan boleh bekerja. Tertuduh juga sudah berkahwin dan mempunyai dua anak berusia 7 dan 2 tahun.

Ketua Pendakwa negeri, Julia Ibrahim bagaimanapun memohon tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan amat serius dengan membabitkan dadah. Tertuduh juga ada mengugut isteri mangsa selepas kejadian itu.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang penyelia kualiti bijih besi maut selepas ditikam pekerjanya di hadapan sebuah kantin berhampiran tapak lombong Kampung Rahmat, Lubok Stol.

Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang akibat kecederaan parah di dada kiri kerana ditikam menggunakan pisau sepanjang 15 sentimeter.