• Kereta Proton Wira milik Anuar ditarik naik ke tebing dekat Takbai, Thailand.Kereta Proton Wira milik Anuar ditarik naik ke tebing dekat Takbai, Thailand.

PENGKALAN KUBOR – Seorang tekong nyaris maut apabila kereta Proton Wira yang dinaiki terjatuh dari sebuah feri ketika dia dalam perjalanan menyeberangi perairan sempadan negara ini ke Takbai, Thailand petang kelmarin.

Mangsa, Anuar Latif, 50, dari Kampung Kemanyang, Bachok berjaya menyelamatkan diri selepas melompat keluar dari kereta tersebut apabila keretanya hampir menjunam ke dalam sungai Golok itu.

Kejadian pada jam 4.30 petang berlaku apabila sebuah lori sarat muatan ikan di dalam feri tersebut menggelongsor ke belakang ketika menaiki pelantar jeti  feri di Takbai, Thailand.

Anuar berkata, ketika kejadian dia berada di belakang lori itu menunggu giliran untuk naik ke tebing selepas feri berlabuh di jeti Takbai itu.

“Tiba-tiba saya nampak lori itu menggelongsor ke belakang, saya yang berada di dalam kereta terus menarik 'break tangan' manakala kaki pula dengan kuatnya menekan 'break'.

“Dua kali bunyi hentaman kuat apabila belakang lori itu melanggar bahagian depan kereta saya menyebabkan kereta saya bergerak ke belakang,” katanya.

Menurutnya, usahanya untuk menyelamatkan kereta itu tidak berhasil apabila separuh badan keretanya telah jatuh dari feri itu.

Katanya, dalam keadaan panik itu, dia terus membuka pintu kereta dan melompat keluar menyelamatkan diri, manakala keretanya terus jatuh dan tenggelam  ke dalam sungai Golok itu.

Menurutnya, akibat kejadian itu dia mengalami kerugian hampir RM30,000 manakala dokumen penting seperti buku bank, lesen memandu dan kad pengenalan diri yang disimpan di dalam kereta itu tidak sempat diselamatkan.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian, mendapati usaha mencari kereta itu dilakukan oleh pasukan penyelam dari Tentera Laut Diraja Thailand yang beribu pejabat di Narathiwat dengan bantuan Royal Thai Police Marin dan Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor.

Kereta milik Anuar ditemui kira-kira 30 meter dari jeti feri Takbai pada jam 11.45 pagi semalam.

Sementara itu, Pengurus Feri Jabatan Kerja Raya (JKR) Pengkalan Kubor, Mohd Noorli Md Nawi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, Kejadian berlaku di jeti feri Takbai apabila feri Malaysia membawa penumpang dari jeti feri Pengkalan Kubor  menyeberangi sungai Golok ke Takbai.

“Ketika kejadian, hanya tinggal lori muatan ikan dan kereta mangsa di dalam feri itu.

“Ketika lori itu menggelongsor ke belakang, ia telah melanggar kereta terbabit dan kereta itu bergerak dan terjunam dari feri,” katanya.