Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Tebuk dinding kedai


Banting: Sebuah pasar raya dan tiga premis perniagaan yang beroperasi di dalam sebuah pusat beli-belah di sini, dipecah masuk sekumpulan penjenayah awal pagi semalam sehingga menyebabkan kerugian lebih RM200,000.
Difahamkan dalam kejadian jam 4 pagi itu, suspek dipercayai antara tujuh hingga lapan individu itu memecah masuk pusat beli-belah terbabit dan mengikat tiga pengawal keselamatan.
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, suspek yang bersenjatakan parang dan pisau membawa pengawal keselamatan terbabit menuju ke bahagian dalam pasar raya sebelum membuka peti simpanan wang di bahagian kewangan premis berkenaan menggunakan mesin gerudi.
“Mereka melarikan RM197,000 sebelum memecah masuk kedai cermin mata dan mengambil beberapa cermin mata berjenama yang belum diketahui jumlah kerugiannya.
“Suspek turut memasuki kedai barang kemas dengan menebuk dinding premis dan melarikan cincin, rantai, subang serta wang tunai.
Namun jumlah kerugian masih disiasat,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, suspek melarikan diri jam 6 pagi sebelum pengawal meleraikan ikatan dan menghubungi polis pada jam 6.40 pagi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkumpulan menggunakan senjata dan polis sedang memburu suspek kejadian itu.
Sementara itu, pemilik kedai cermin mata, Jeff Heng, 30, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian jam 8 pagi oleh pengurusan pusat beli-belah itu.
Menurutnya, pintu hadapan premis saya diumpil dan mereka melarikan pelbagai cermin mata berjenama dan komputer riba yang dianggarkan berjumlah lebih RM50,000.
“Pelbagai barangan yang dipamerkan berselerak di dalam premis,” katanya.
Foto
PEKERJA kedai menyusun semula cermin mata yang diselerakkan penjenayah.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

No comments:

Post a Comment