Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Taufan Rammasun ragut 46 nyawa


2014/07/23

Beijing: Angka kematian akibat ribut paling kuat pernah melanda China sejak beberapa dekad lalu mencecah 46 orang dengan 25 yang lain dilaporkan hilang, kata pihak berkuasa semalam.

Dalam masa sama, satu lagi taufan dijangka sedang menghampiri pantai timur negara itu.


Taufan Rammasun telah menyebabkan 19 orang mati di selatan pulau China dekat wilayah Hainan, 18 di barat daya Yunnan dan sembilan lagi di Guangxi, kata Kementerian Hal Ehwal Awam dalam satu kenyataan di laman webnya.

Lebih 620,000 orang telah dipindahkan dan seramai 252,000 memerlukan bantuan kecemasan, menurut kenyataan itu.
Sejumlah 37,000 buah rumah musnah sejak ribut pertama yang dikatakan dalam kategori taufan kuat melanda China pada petang Jumaat, dengan kelajuan angin melebihi 200 kilometer sejam.

Kementerian Hal Ehwal Awam awal pagi Rabu lalu berkata 33 orang telah mati akibat ribut.

Taufan paling ganas
Taufan paling ganas yang pernah melanda selatan China sejak 1973 itu juga menyebabkan kemusnahan di selatan wilayah Guangdong.

Rammasun - yang bermaksud Guruh Tuhan dalam bahasa Thailand - telah menyebabkan lebih 120 kematian di Filipina dan Vietnam, kata pihak berkuasa di sana.

Sementara itu, Taufan Matmo dijangka akan melanda pantai timur China pada hari ini, lapor Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC).

Matmo yang dikatakan memiliki kelajuan sehingga mencecah 173 kilometer sejam diramalkan akan melanda Taiwan lebih awal pada hari ini sebelum menuju ke barat China sepanjang tengah hari hingga ke petang.
AFP

No comments:

Post a Comment