TOKYO - JEPUN . Sekurang-kurangnya tiga orang termasuk kanak-kanak maut manakala puluhan lagi cedera, semalam selepas taufan Neoguri yang membawa angin kencang sehingga 130 kilometer sejam membadai selatan Pulau Kyushu.

Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan Neoguri membadai kawasan berhampiran bandar Akune sekitar jam 7 pagi (waktu tempatan) selepas ia menyeberangi pulau Okinawa.

Kerajaan Jepun telah bersiap sedia dari awal termasuk mengadakan mesyuarat pengurusan bencana bagi membincangkan langkah terbaik menangani ancaman Neoguri yang dijangka terus bergerak ke seluruh kepulauan Jepun.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan melaporkan taufan tersebut juga telah menyebabkan kemusnahan yang teruk dan menjejaskan ratusan jadual penerbangan sejak awal minggu lalu menurut laporan AFP.