Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Taufan Matmo cetus kebimbangan di Luzon


Dengan kelajuan angin sehingga 160 kilometer sejam, Matmo bergerak 24 kilometer sejam dari kawasan barat laut menuju tengah Taiwan. Ia dijangka melanda kepulauan Batanes di kawasan paling utara Filipina pada pagi ini. Amaran taufan nombor 2 ditingkatkan di Batanes dengan hujan antara 7.5 sehingga 15 milimeter dijangka turun.

Taufan berkenaan juga dijangka membawa hujan ke bahagian lain Luzon. Pengarah Eksekutif Majlis Pengurusan Dan Kawalan Bencana Kebangsaan, Alexander Pama berkata kerajaan menggantung semua perjalanan laut dan melarang bot kecil turun menangkap ikan. “Kami tidak menjangka taufan itu akan tiba di mana-mana bahagian Filipina tetapi orang ramai terutama di kawasan kepulauan kecil tetap dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga tambahan,” katanya.
Pama berkata, taufan berkenaan diramal meninggalkan Filipina tengah hari esok. Matmo tiba hanya beberapa hari selepas taufan Rammasun melanda dan membunuh hampir 100 orang serta menyebabkan kerugian akibat kerosakan tanaman dan infrastruktur bernilai AS$168.46 juta (RM535.45 juta).

Bekalan elektrik di sebahagian besar selatan Luzon masih belum dipulihkan sehingga semalam. - Reuters
Foto
KANAK-KANAK menempuh jalan berlumpur ketika hujan lebat melanda Navotas di timur Manila semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

No comments:

Post a Comment