Search This Blog

Tuesday, July 15, 2014

Suami isteri mengaku tidak salah dera dua anak


ANGGOTA polis mengiringi Hairulnizam A Hamid (gambar kiri) dan isterinya, Puteri Narizah Abd. Aziz selepas Panglima Armada baharu itu. dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas dua tuduhan mendera dua orang anak mereka semalam.
SHAH ALAM 14 Julai - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan mendera dua anak mereka yang berusia 12 dan sembilan tahun, sejak awal tahun ini.
Juruteknik di sebuah syarikat penerbangan, Hairulnizam A. Hamid dan isterinya yang bekerja sebagai kerani di syarikat swasta, Puteri Narizah Abd. Aziz; kedua-duanya berusia 36 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka secara berasingan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mendera anak lelaki sulung antara April dan Mei lalu manakala anak kedua (perempuan) pula di antara Januari dan Mei lalu, di kediaman mereka di Taman Bukit Subang di sini.
Hairulnizam adalah bapa tiri kepada kedua-dua mangsa.
Kedua-dua kanak-kanak terbabit kini berada dalam jagaan salah seorang saudara terdekat tertuduh sejak dua bulan lalu. Pengadu dalam kes terbabit ialah guru sekolah mangsa.
Pertuduhan ke atas pasangan terbabit yang diwakili peguam bela, M. Hafiz Zainol Abidin, dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh di samping pasangan terbabit perlu melapor diri di balai polis berdekatan.
"Pendakwaan juga memohon perintah agar tertuduh tidak dibenarkan mendekati kedua-dua mangsa," kata Siti Syakimah.
Bagaimanapun, peguam bela membantah jumlah jaminan tersebut yang dianggap terlalu tinggi dan membebankan kedua-dua anak guamnya ditambah pula dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Majistret Norshakimah Ahmad Kamarudin kemudian menetapkan jaminan masing-masing sebanyak RM6,000 terhadap Hairulnizam dan RM7,000 ke atas Puteri Narizah, serta diperintah melapor diri pada hari pertama setiap bulan di balai polis berdekatan dan dilarang mendekati kedua-dua mangsa.
Kes akan disebut semula pada 29 Ogos ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140715/ma_01/Suami-isteri-mengaku-tidak-salah-dera-dua-anak#ixzz37UCREn00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment