Search This Blog

Saturday, July 12, 2014

Suami dituduh cuba bunuh isteri dengan mengelar leher


BUTTERWORTH 11 Julai - Selepas hampir dua tahun menghilangkan diri, seorang pengawal keselamatan hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cubaan membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa, dua tahun lalu.
N. Premananth, 43, mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu terhadap R. Saraswathy, 39, di rumah No. 67, Lorong 15/SS 2, Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Nibong Tebal, dekat sini pada pukul 7.30 pagi, 1 Ogos 2012.
Tertuduh yang ditangkap pada 29 Jun lalu di ibu negara menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 22 Ogos ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Marziyah Mansor yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana dia boleh mengganggu saksi.
"Selain itu, tertuduh hanya berjaya ditangkap pada 29 Jun tahun ini, malah dia langsung tidak menghubungi polis untuk siasatan. Sepatutnya tertuduh terus menyerah diri. Jadi, saya bantah tertuduh diikat jamin," katanya.
Bagaimanapun peguam tertuduh, RSN Rayer memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin kerana dia mempunyai tanggungjawab ke atas ibu bapa dan dua anaknya.
Memetik laporan akhbar, dalam kejadian tersebut, seorang suri rumah cedera di leher akibat dikelar dengan senjata tajam oleh suaminya di sebuah rumah di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supritendan Shafien Mamat ketika itu berkata, mangsa berada seorang diri di rumah apabila dia didatangi suaminya lalu berlaku perselisihan faham menyebabkan mangsa dikelar di leher.
Katanya, mangsa ditemukan berlumuran darah oleh bapanya yang hanya dikenali sebagai Ramanadan ketika datang ke rumah mangsa kira-kira 45 minit selepas kejadian itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140712/ma_04/Suami-dituduh-cuba-bunuh-isteri-dengan-mengelar-leher#ixzz37CfwLnY7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment