Search This Blog

Thursday, July 31, 2014

Sindiket curi kabel tumpas


SUM Chang Keong menunjukkan kabel tembaga yang dirampas daripada sindiket curi kabel telekomunikasi dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Perak, semalam.
IPOH 30 Julai - Polis menumpaskan sindiket curi kabel tembaga menara telekomunikasi yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes sejak awal tahun ini berikutan penahanan tiga lelaki di sekitar kawasan Tambun kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kejayaan itu hasil maklumat orang awam mengenai seorang lelaki yang melarikan kabel tembaga menggunakan sebuah kereta dari menara telekomunikasi di Kampung Tawas dekat sini pada pukul 2 petang kelmarin.
Beliau berkata, berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek, polis berjaya mengesan lelaki tersebut di Desa Tambun pada pukul 4.30 petang.
"Soal siasat ke atas suspek yang berusia 32 tahun itu akhirnya membawa kepada penahanan dua lagi lelaki, masing-masing berusia 37 dan 52 tahun di sekitar Tambun yang mengaku terlibat dalam sindiket berkenaan.
"Polis turut merampas kabel tembaga yang sudah siap dipotong dan sedia untuk dileburkan bernilai RM10,000, sebuah kereta Perodua Viva dan gergaji besi,'' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan suspek ditahan sehingga esok.
"Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes curi kabel menara telekomunikasi di sekitar Ipoh sejak awal tahun ini," jelasnya.
Sementara itu, kata Sum Chang, polis berjaya menahan dua lelaki warga Vietnam yang merompak sebuah kedai barangan perkakasan di Jalan Kuala Kangsar dekat sini pada 3.43 pagi Ahad lalu.
Katanya, suspek ditahan di hadapan premis tersebut oleh anggota polis yang membuat rondaan setelah mengesan suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Tambahnya, hasil siasatan polis menemui barangan curi termasuk komputer riba, dua buah kamera, lima telefon bimbit dan peralatan yang digunakan untuk memecah masuk ke kedai berkenaan seperti kuku kambing, pemutar skru serta topeng muka.
"Kedua-dua suspek yang berusia 31 dan 24 tahun direman 14 hari sehingga 10 Ogos depan di bawah Akta Imigresen. Suspek didapati menyalahgunakan pas pelawat ke negara ini untuk merompak," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140731/je_02/Sindiket-curi-kabel-tumpas#ixzz38zxrUZEi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment