Search This Blog

Friday, July 11, 2014

Serah mangsa kepada Kedutaan China


Oleh Ardyhansah Amat

Kota Kinabalu: Pengurus pusat penternakan ikan warga China yang diculik di Pulau Baik, Lahad Datu, Mei lalu, akan diserahkan kepada Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur sebelum berlepas pulang ke negara asalnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, operasi menyelamat dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membawa pulang Yang Zailin, 34, ke negeri ini dan paling penting, ke pangkuan keluarganya.


“Mangsa disahkan selamat dan polis akan mengambil keterangan daripadanya sebelum diserahkan kepada kedutaan.

“Apa yang penting, dia (mangsa) berjaya diselamatkan kerana sudah menjadi tanggungjawab polis untuk menjaga keselamatan, bukan sahaja rakyat tempatan tetapi membabitkan pelancong asing,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Taklimat Penstrukturan Semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), di sini, semalam.


Terdahulu, dalam kejadian 6 Mei lalu, kumpulan lima lelaki termasuk dua bersenjatakan M-16, menceroboh pusat penternakan ikan di Pulau Baik sebelum melarikan mangsa, kira-kira jam 2.45 pagi.


Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai taklimat penstrukturan semula ESSCOM, Khalid menjelaskan pertemuan itu khusus memberi penerangan mengenai pemerintah eksekutif berkaitan agensi keselamatan di kawasan itu.

“Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sudah memberi penerangan terperinci mengenai struktur baru ESSCOM seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Justeru, penerangan ini untuk memberi pemahaman kepada semua pihak yang terbabit dengan ESSCOM berkaitan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/11

No comments:

Post a Comment