Search This Blog

Wednesday, July 30, 2014

Seorang maut, 25 buah rumah atas air terbakar


SEORANG lelaki maut dan 25 buah rumah atas air di Kampung Gentisan, Sepanggar di Kota Kinabalu musnah terbakar, semalam.
KOTA KINABALU 29 Julai - Kira-kira 200 orang penduduk di Kampung Gentisan, Sepanggar dekat sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah atas air yang didiami mereka musnah dalam kebakaran hari ini.
Kejadian kira-kira 2.30 petang yang memusnahkan 25 buah rumah itu turut mengorbankan seorang penduduk.
Mangsa, Anuar Husni yang berusia 20-an terkorban ketika dipercayai cuba menyelamatkan barangan milik keluarganya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Nordin Fauzi berkata, mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas setelah terhidu asap dari kawasan kebakaran.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, dianggarkan sebanyak 25 buah rumah atas air musnah dalam kebakaran tersebut, namun punca kejadian belum diketahui.
Jelasnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 2.37 petang dan tiba di tempat kejadian pada pukul 2.50 petang.
Tambahnya, sebanyak 27 anggota termasuk pegawai bomba terlibat dalam operasi menyelamat dan memadam kebakaran, selain dibantu oleh pasukan bomba dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar.
"Empat buah jentera bomba dari dua buah balai bomba masing-masing dari Lintas dan Kota Kinabalu digunakan dalam operasi memadam kebakaran di perkampungan atas air tersebut," katanya.
Sementara itu, saudara mangsa, Mohd. Nuralim Tarawi, 23, berkata, arwah bekerja di pelantar minyak di Sarawak dan baru sahaja tiba di kampung untuk menyambut Aidilfitri.
"Arwah memang selalu kata mahu balik sini sambut Aidilfitri. Memang dia sudah lama tak pulang ke kampung. Tak sangka pula kepulangannya kali ini adalah yang terakhir," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140730/je_03/Seorang-maut-25-buah-rumah-atas-air-terbakar#ixzz38tky2pXQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment