Search This Blog

Saturday, July 12, 2014

Sembilan kali diserbu tapi tetap beroperasi


ANGGOTA penguat kuasa MBMB merampas sejumlah komputer yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam serbuan di empat premis kafe siber di Taman Semabok Perdana dan Taman IKS Paya Rumput, Melaka, kelmarin.
MELAKA 11 Julai - Entah di mana silapnya apabila sebuah premis perjudian yang telah sembilan kali diserbu sejak 2012 dan sebanyak 176 unit komputer disita, namun pemiliknya masih terus menjalankan operasi seperti biasa.
Semalam, premis yang terletak di Taman Semabok Perdana dekat sini, diserbu buat kali ke-10 dan 12 unit komputer dipercayai digunakan sebagai mesin pertaruhan perjudian disita.
Premis tersebut adalah antara empat yang diserbu Bahagian Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi membanteras kegiatan perjudian di bandar raya ini.
Malah bagi menarik kedatangan lebih ramai pengunjung, ada pemiliknya yang menampal iklan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, RM15,000 dan RM1,000 di dalam dinding premisnya.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa MBMB, Mohd. Irwan Samat berkata, terdapat empat premis perjudian yang beroperasi tanpa lesen serta berselindung di sebalik perniagaan kafe siber diserbu pihaknya iaitu dua di Taman Semabok Perdana manakala bakinya di Paya Rumput dekat sini.
Katanya, dalam operasi bermula pukul 10 pagi hingga pukul 12 tengah hari serta melibatkan empat anggota polis dan 12 anggota penguat kuasa MBMB, 92 unit komputer yang dipercayai digunakan sebagai mesin pertaruhan perjudian disita.
"Pemeriksaan mendapati ada premis yang pernah diserbu sebelum ini tetapi masih menjalankan operasi seperti biasa. Pemilik premis jelas tidak gentar dengan tindakan yang diambil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Irwan memberitahu, kesemua kaki judi dan penjaga premis telah dirakam keterangan untuk siasatan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140712/je_04/Sembilan-kali-diserbu-tapi-tetap-beroperasi#ixzz37CeH0zU5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment