GEORGETOWN - Empat sekeluarga terpaksa menghadapi detik mencemaskan apabila disamun dan kemudian diculik dua lelaki di kediaman mereka di Taman Hutchings di sini sebelum ditinggalkan tepi jalan di Tikam Batu, Kedah pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, lelaki terbabit menceroboh rumah seorang pemilik kedai penyaman udara ketika mereka sekeluarga sedang nyenyak tidur.

Difahamkan, mereka memanjat bumbung rumah mangsa dan turun mengikut bilik air.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Mazlan Kesah berkata, suspek bersenjatakan parang bertindak masuk ke bilik dua anak perempuan mangsa berusia 13 dan 19 tahun lalu mengikat mereka sebelum menceroboh bilik mangsa dan isterinya.

Menurutnya, mangsa serta isteri turut diikat sebelum penjenayah menyelongkar dan mengambil pelbagai barangan berharga serta wang tunai berjumlah kira-kira RM5,000.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, suspek tidak berpuas hati sebaliknya meminta mangsa dan isterinya menyerahkan kad ATM dan kad kredit.

“Selepas mendapatkan kad ATM dan kad kredit, penjenayah terbabit membawa semua ahli keluarga itu menaiki kereta untuk mengeluarkan wang masing-masing.

“Bagaimanapun, ketika itu bank belum beroperasi dan empat beranak dibawa ke kawasan Perai sementara menunggunya dibuka,” katanya ketika ditemui media di rumah mangsa di sini semalam.

Ketika dalam perjalanan, suspek mengugut akan mengurung kesemuanya di satu lokasi tidak diketahui.

Bimbang sesuatu lebih buruk akan dialami keluarganya, mangsa bertindak nekad terjun dari kereta untuk meminta bantuan.

“Tindakan mangsa menyebabkan kedua-dua lelaki berkenaan takut dan kemudian meninggalkan isteri dan dua anak mangsa setengah jam kemudian.

“Mangsa cedera ringan manakala isteri dan anak-anak mangsa selamat,” katanya.

Sementara itu Mazlan berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan mengesan suspek serta kereta mangsa yang dilarikan.

“Dari keterangan mangsa, kita dapati suspek melarikan kereta mangsa jenis Mercedes E200.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata,” katanya.