PUCHONG – Berpura-pura melanggar bahagian but kereta sebelum menyamun dan melarikan kenderaan milik mangsanya.

Itu taktik digunakan sekumpulan penyamun bagi memerangkap mangsanya supaya turun dari kenderaan kononnya bagi membincangkan kemalangan yang berlaku.

Tidak sampai seminit, rakan suspek akan tiba di lokasi kejadian secara tiba-tiba menyamun barangan berharga sebelum seorang daripada mereka masuk ke dalam kenderaan milik mangsa dan melarikan diri.
Bagaimanapun, kegiatan kumpulan penjenayah dipercayai bergiat aktif sejak empat bulan lalu akhirnya tumpas apabila enam lelaki berusia lingkungan  20-an ditahan awal Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, suspek akan bertindak seolah-olah tidak sengaja melanggar bahagian belakang kereta mangsa.

Apabila mangsa turun, dia disamun manakala kenderaan miliknya akan dilarikan.

“Aktiviti kumpulan ini berjaya ditumpaskan Ketua Polis Balai Puchong , Asisten Superintendan Chai Chee Boon bersama pasukannya yang berjaya menahan enam lelaki di sekitar Puchong dan Kinrara.

“Tiga buah kereta masing-masing Isuzu Demax, Perodua Myvi dan Toyota Altis yang sebelum ini pernah dilapor disamun berjaya ditemui semula,” katanya.

Beliau berkata, empat daripada suspek yang ditahan masing-masing mempunyai beberapa rekod jenayah lampau