Search This Blog

Sunday, July 20, 2014

Rumah jadi stor mercun


Jitra: Seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan selepas pemeriksaan di rumahnya di Kampung Kodiang Lama Luar, Kodiang, menemui pelbagai jenis mercun diharamkan, kelmarin.

Pada masa sama, pada serbuan jam 11 malam itu, polis turut mendapati lelaki terbabit turut menggunakan rumahnya sebagai stor menyimpan mercun.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, serbuan dijalankan jam 11 malam itu hasil risikan serta maklumat awam.

“Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit memperoleh bekalan mercun daripada seorang pembekal dari negara jiran sebelum menjualnya di bazar Ramadan di Kodiang sejak awal Ramadan lalu bagi menambah pendapatan.


“Mercun terbabit ditemui di dalam sebuah daripada bilik di rumah terbabit. Ketika serbuan, suspek yang berehat terkejut melihat kehadiran anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu yang datang untuk melakukan pemeriksaan di dalam rumahnya.


“Pemeriksaan menemui 347 kotak dan bungkusan mengandungi mercun jenis ‘Magic Boom’, ‘Double Thunder Glap’, ‘Caixiyingmen’ dan banyak lagi dianggarkan bernilai RM7,000.

“Siasatan mendapati suspek hanya mempunyai lesen untuk menjual bunga api ‘Happy Boom’ dan ‘Pop-pop’ tetapi mengambil peluang menjual mercun yang dilarang termasuk mercun bola,” katanya pada sidang media di IPD Kubang Pasu, semalam.


Abd Rahim berkata, suspek dipercayai hanya mengeluarkan modal RM2,500 untuk membeli mercun terbabit tetapi mampu memperoleh keuntungan sehingga RM4,500 berdasarkan nilai pasaran.



Katanya, suspek yang sudah berkahwin dipercayai memperoleh bekalan mercun yang dihantar seorang lelaki warga Thailand dikenali sebagai Abe berusia 30-an pada setiap hari sebelum menjualnya berikutan mendapat sambutan tinggi.


“Ini rampasan terbesar membabitkan mercun bagi bulan ini dan suspek direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Menurut Abd Rahim, sejak awal bulan ini, pihaknya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM12,150 membabitkan 12 kes dengan kebanyakannya dilaporkan berlaku berhampiran sempadan Bukit Kayu Hitam.


Katanya, daripada jumlah kes terbabit, 10 daripadanya sudah dituduh di mahkamah membabitkan jumlah denda antara RM1,000 hingga RM3,000 setiap seorang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/20

No comments:

Post a Comment