Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Remaja maut kepala tersepit di pintu lif


GERIK 22 Julai - Seorang gadis, Noor Syarmila Abu, 19, baru sahaja menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Johor. Sementara menunggu panggilan masuk ke universiti pada September ini, dia menambah wang saku dengan bekerja di sebuah kedai runcit di Jalan Tun Sabah di sini.
Malangnya, hasratnya untuk melanjutkan pengajian tidak kesampaian apabila dia mati setelah kepalanya tersepit di pintu lif pengangkat barang, ketika umat Islam sedang berbuka puasa, semalam.
Menurut abangnya, Azizan, 34, arwah merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik dan baru sahaja bekerja di kedai runcit tersebut selepas menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Johor.
"Antara adik-beradik, arwahlah yang paling cemerlang. Dia budak pandai dan menjadi harapan kami untuk melihat dia mendapat pekerjaan baik dalam kerajaan. Apa daya, dia pergi sebelum sempat masuk universiti," katanya sebak kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Azizan, dia hanya mengetahui kejadian malang menimpa Noor Syarmila selepas dimaklumkan oleh seorang saudara yang bekerja bersebelahan tempat kerja adiknya itu pada pukul 7.35 malam.
"Selepas kehilangan ayah dua tahun lalu, pemergian arwah adalah satu kehilangan besar untuk kami, tambahan lagi menjelang Aidilfitri ini," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Manab Bahrum berkata, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.
Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati, mangsa sedang menjenguk ke bawah ketika berada di atas lif, namun secara tidak sengaja telah menekan suis lif itu yang kemudian bergerak ke atas.
"Ia seterusnya menyebabkan kepalanya tersepit antara besi palang dan pagar tempatnya berdiri.
"Kejadian menimpa mangsa disedari oleh rakan sekerja yang kemudian segera memaklumkan kepada majikan. Mayat mangsa dikeluarkan oleh pihak bomba dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140723/je_08/Remaja-maut-kepala-tersepit-di-pintu-lif#ixzz38F2jLYMA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment