Search This Blog

Sunday, July 27, 2014

Rekod 38 kematian


Oleh Na’imah Mohamed dan Syafiq Aznan

Klang: Selangor terus merekodkan peningkatan dalam kes demam denggi apabila mencatat 28,621 kes membabitkan 38 kematian sejak Januari hingga 19 Julai lalu berbanding 6,520 kes dengan tujuh kematian untuk tempoh sama pada 2013.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, empat daerah dikenal pasti mencatat kes demam denggi yang tinggi didahului Petaling dengan 12,315 kes, Hulu Langat (6,029 kes), Klang (4,626 kes) dan 4,113 kes di Gombak.

“Klang yang juga lokasi panas bagi penyebaran wabak denggi mencatat peningkatan kes demam denggi 326 peratus berbanding tahun lalu.

“Sebanyak 54 lokaliti wabak denggi dilaporkan di daerah ini, dengan 53 lokaliti jenis wabak terkawal dan hanya satu wabak tidak terkawal (tiada lokasi panas),” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di sini, semalam.

Dalam masa sama, Subramaniam turut menempelak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilihat tidak serius serta tidak bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah sampah sehingga menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau berkata, lawatan kerja dilakukan di sekitar kawasan itu menunjukkan persekitaran sangat kotor dengan kawasan pembuangan sampah boleh dilihat di merata tempat, termasuk di bahu jalan.

“Kawasan ini boleh diibaratkan sebagai ‘tong sampah besar’ yang penuh dengan sampah di merata tempat sehingga menyebabkan sampah berkumpul dan tidak dikutip oleh kontraktor yang dilantik PBT.

“Kerajaan negeri dan PBT seharusnya mengambil langkah serius kerana isu sampah ini bukan isu kecil.

Masalah sampah ini akhirnya melarat sehingga membawa kepada penyebaran wabak denggi,” katanya.

Beliau berkata, segala langkah pencegahan penyebaran wabak denggi seperti semburan kabus juga tidak efektif jika kawasan persekitaran masih kotor.

Selain itu, Subramaniam berkata, belanjawan tambahan RM15 juta melalui Kementerian Kesihatan juga diluluskan dalam usaha membantu memerangi demam denggi yang semakin menular di negara ini.

“Masyarakat juga diminta menjaga kebersihan sekeliling dan hindari tabiat membuang sampah merata-rata, selain melupuskan sampah domestik dan pukal secara teratur,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

No comments:

Post a Comment